Wednesday 12 April 2017

Teman Lelaki Cik Bos [Bab 3]



*Hai! Nak bagitahu yang ini adalah versi sebelum diserahkan pada editor. Jadi segala kesalahan amatlah dikesali =)*


BAB 3


  “SHOOT!” Aku hentak tangan pada stereng kereta. Beberapa saat kemudian, aku menyesal sendiri bila kedua-dua tapak tangan terasa sakit. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali sambil cuba tenangkan hati.
Kenapa kau tak isi minyak, Elis? Sekarang tak pasal-pasal aku tersadai tepi jalan yang...
  “Oh my god!” Aku tutup mulut sendiri bila mata mengesan sesuatu. Laju aje kepala toleh ke kiri dan ke kanan. Bila pasti yang tempat ini sekarang langsung tak pernah aku nampak, dada mula berdetak berbagai rentak.
   Aku dekat mana ni? Kenapa macam tak ada kereta sangat pun? Kenapa jalan ni kecil? Macam mana boleh termenung bawa diri sampai dekat sini?
   Aduhai...
   Takkanlah aku menonong aje memandu sampai langsung tak tahu dekat mana?
  “Bodohnya kau Izaryn!” Aku ketuk kepala sendiri. Memang salah aku pun. Takkanlah aku nak ketuk kepala Tuan Qamarul pulak walaupun semua ni berpunca dari dia.
  Jam pada dashboard aku pandang sekilas sebelum membuka pintu untuk keluar. Dah pukul 7.15 petang. Orang pun dah tak ramai lalu lalang. Aku sendiri tak tahu dekat mana aku sekarang.
  Seminit dekat luar kereta, aku kembali duduk di tempat pemandu. Telefon bimbit dicari dari dalam beg tangan. Nak telefon Elis.
  Aku tak kira, dia kena bawa tong minyak jugak sampai sini.
  Tapi, macam mana aku nak bagitahu Elis yang aku dekat mana? Lokasi sendiri pun aku tak tahu.
  Elok aje aku pegang smartphone, dahi berkerut lebat. Tak ada bateri pulak!
  Dah lah cable nak charge pun tak ada. Cable yang ada dalam kereta Elis ni pun untuk smartphone OPPO dia je. Tak boleh masuk dengan Iphone ni.
  Aku tarik nafas panjang sebelum sekali lagi keluar dari kereta. Beberapa buah kereta yang melalui jalan yang sama aku tahan tapi tak ada satu pun yang sudi berhenti. Dari kereta paling besar sehinggalah yang paling kecil.
  Semua buat tak nampak aje aku tahan tangan.
  Nafas dilepas kasar. Buntu!
  Di kiri dan kanan pun tak ada rumah orang. Hari dah makin senja. Jangan kata dia orang semua ingat aku entiti pulak?
  Macam mana ni? Logik ke kalau aku tahan je semua kereta dekat tengah-tengah jalan? Tak kena langgar ke nanti?
  Beberapa minit berdiri di tengah-tengah jalan, sebuah motosikal mula datang mendekati. Nampak aje aku tahan, dia terus berhenti.
  Tepat di depan Kelisa.
  “Kenapa ni?” Dia turun dari EX5 sebelum buka helmet yang menutup muka.
  Elok aje dia berdiri di depan aku, spontan aku bawa tangan ke hidung.
  Busuknya!
  Berkerut terus dahi dia bila nampak kelakuan aku.
  “Cik, tahu tak kalau terang-terang tutup hidung depan orang sambil pandang atas bawah tu, tak sopan?” Sebelah tangan dia memegang helmet dan sebelah lagi diletakkan pada pinggang.
  Aku gigit bibir bila menyedari silap sendiri. Perlahan-lahan aku turunkan tangan dari hidung dan mula tahan nafas.
  “Tapi... awak busuk.” Jujur. Tak tahu nak cover macam mana dah.
  Dia tunduk, pandang badan sendiri dan mula angkat tangan kiri dan kanan. Berkerut-kerut dia pandang aku yang masih tahan nafas di depan.
  “Mana ada busuk? Hidung awak tu je yang problem.” Laju aje dia membalas. “Kereta ni kenapa?” Dia dah tukar topik.
  “Takde minyak.” Aku dah tak terdaya nak tahan nafas.
  “Hah? Takkan tak tengok meter minyak? Inilah dia orang perempuan...”
  Aku buat muka. Ini nak tolong ke, nak bagi syarahan? Nak perli-perli orang pulak.
  “Jom ikut saya beli minyak dekat stesen minyak depan sana.”
  Kening aku terangkat tinggi dengar pelawaan dia. ‘Jom’? Dia nak aku ikut dia naik EX5 tu?
  Takkanlah sepanjang jalan ke stesen minyak aku nak kena duduk belakang dia? Dan nak kena tahan nafas?
  “Nak saya tolong ke tak ni?” Mata dia tepat pada anak mata aku. Nampak aje aku angguk, dia mula melangkah ke motosikal yang diparkir depan kereta tadi. “Jomlah,” ajak dia lagi.
  “Kalau saya tunggu dekat sini je, boleh tak?” Teragak-agak aku bersuara. Sedaya upaya aku buat nada biasa. Tak bagi nampak sangat yang aku tengah fikir ‘awak busuk, saya tak tahan nak duduk dekat dengan awak lama-lama’.
  Lama dia pandang aku sebelum bersuara. “Okay. Dah Maghrib ni. Kalau tak takut, boleh duduk dalam kereta sampai aku datang.”
  Betul. Dah Maghrib. Aku sendiri dengar sayup azan tadi. Hari pun dah makin gelap.
  “Saya tunggu sini,” putus aku akhirnya.
  Dia sekadar angguk dan terus berlalu dari situ.
  Sebaik saja lampu dari motosikal dia hilang dari pandangan, aku mula menyesal dengan keputusan sendiri.
  Kenapalah aku pilih nak duduk bergelap di sini dari ikut dia?
  Dahlah tak ada kereta lalu-lalang sangat. Lampu jalan pun satu aje yang berfungsi, yang lain mati.
  Bila pelbagai bayangan dan perasaan seram mula menerjah fikiran, aku mula membaca ayat-ayat Quran yang aku tahu.
  Tak kuat, cukup sehingga telinga sendiri dengar.
  Debaran di dada makin kuat bila keadaan jalan semakin sunyi.
  Adoi, apa lama sangat dia pergi beli minyak ni? Takkan dia tak jadi tolong lepas aku cakap dia busuk, kot?
  Bila teringatkan apa yang aku cakap pada dia tadi, laju aje tangan tampar mulut sendiri beberapa kali. Itulah, mulut ni celupar sangat!  Tak boleh ke diam-diam je kalau tak suka?
  “Wargh!”
  Cermin kereta diketuk dari luar membuatkan aku menjerit kuat. Bila nampak je lelaki tadi senyum nipis dari luar, aku terus ucap syukur berkali-kali.
  “Dah gila ke kena tinggal sorang-sorang?” Dia tarik sengih tanpa memandang.
  Aiseh. Ini mesti dia nampak aku duk tampar diri sendiri ni. Aku terus keluar dari kereta sebelum membuka tangki minyak.
  “Jauh ke stesen minyak tu?” Aku hanya pandang dia yang cekap mengisi minyak ke dalam kereta dengan beberapa peralatan yang dia bawa dari stesen minyak. Dari belakang, tubuh badan dia macam aku pernah nampak.
  Tapi dekat mana ya...?
 “Tak jauh pun,” jawab dia perlahan sebelum menutup tangki minyak kemas. Tong minyak yang dipegang juga ditutup. Dia berpaling pada aku di belakang sebelum menyambung, “Sepuluh ringgit.”
  Hah! Betullah! Ini orang yang bayarkan makanan aku hari tu!
  Huluran tangan dari dia membuatkan khayalan aku mati. Dia cakap sepuluh ringgit?
  Bukan ke hutang aku makan hari tu dua puluh satu?
  “Kenapa sepuluh pulak?”
  Kening dia terangkat tinggi pandang aku. “Minyak tu saya beli sepuluh ringgit.”
  Oh! Minyak! Lupa pulak yang minyak tu pun kena bayar.
  “Kejap.” Aku buka pintu kereta dan keluarkan RM30 dari purse. “Sekali dengan saya makan hari tu.”
  Berkerut-kerut dia pandang wajah aku di depan. Dalam kesamaran senja, aku tahu yang dia dah tak cam muka aku.
  “Makan?”
  “Dua puluh satu ringgit.” Laju aje aku menjawab. “Kedai dekat... ini dekat mana?” soal aku bila teringatkan sesuatu. Takkanlah aku dah sampai sejauh kedai makan yang aku makan hari tu?
  “Hulu Selangor.”
  Jawapan dari dia membuatkan aku ternganga luas.
  “Habis tu awak nak pergi mana? Dah sesat?” Berkerut terus dahi dia bila nampak aku terkejut.
  Soalan dia dibiar lalu menyapa telinga. Patutlah sampai habis minyak kereta Elis ni. Jauhnya dari KL!
  “Kejap, yang makan banyak tapi tak ada duit hari tu, awak ke?” Dia mula menunduk dan dekatkan wajah ke muka aku.
  Spontan aku terkebelakang. Refleks.
  “Aaa... betullah. Awak.” Dia kembali tegak di depan aku.
  Kurang asam betul pernyataan dia tadi tu. ‘Yang makan banyak tapi tak ada duit’? Aku ada duit lah!
  Cuma... hari tu aje, duit masih dalam bank.
  “Awak nak ke mana sebenarnya ni?” Dia pandang jam tangan sendiri dan muka aku bersilih ganti.
  “KL.”
  “KL belah sana. Awak salah jalan ni.”
  Aku mengeluh perlahan. Aku tahu. Memang aku nak u-turn balik KL pun ni.
  “Tadi dari mana?”
  “KL,” jawab aku lagi. Dia dah garu kepala sambil pandang aku dari atas ke bawah. Tak lama kemudian, keluar tawa halus dari mulut dia.
  “Saya bukan jumpa bayangan atau makhluk halus, kan? Dari KL nak ke KL? Awak ni betul ke tidak?”
  Aku buat muka. Sesedap rasa je dia cakap aku tak betul.
  “Cuba cakap betul-betul, awak nak pergi mana?” Jam tangan dikerling lagi. Dah rupa orang besar-besar terlepas meeting aje dia ni. Dari tadi duk pandang jam. “Ah, tak kisahlah awak nak pergi mana pun. Minyak kereta pun dah penuh.”
  “Sini ada hotel?” Soalan dia aku biarkan tak berjawab.
  Dengar aje soalan aku, dia terus mengangguk. “Motel ada. Tapi jauh jugak dari sini. Nak bagitahu karang, awak sesat lagi.”
  “Awak tolong tunjukkan jalan?”
  “Saya nak cepat ni...”
Bibir terus mencebik bila dengar jawapan dia. Hari tu nak cepat. Hari ni pun nak cepat.
  “Awak nak cari tempat tidur kat sini ke?”
  Laju aku angguk. Walaupun langsung tak ada dalam plan asal, tapi sebab hari pun dah malam, aku kena bermalam dekat sini jugak. Bawa kereta waktu siang pun aku boleh cuai, kalau dalam gelap, lagilah....
  “Kalau macam tu, ikut moto saya. Saya tahu tempat yang awak boleh tidur untuk malam ni.” Duit yang aku bagi tadi dia masukkan ke dalam beg hitam yang terlilit pada pinggang, sama seperti yang aku nampak di kedai makan dulu.
  Sebelum sempat aku masuk ke tempat pemandu, dia hulur baki RM20. Kening aku terangkat tinggi.
  “Eh, kenapa ada baki pulak?”
  “Sebab seingat saya, saya cakap yang saya nak bayarkan dan awak pun dah cakap terima kasih. Jadi, dah selesai yang tu.”
  Aku tak ada pilihan. Betul juga cakap dia dan tak ada alasan pun aku nak berkeras untuk bayar jugak.
  “Okay.” Baki tadi bertukar tangan. “Awak nak saya ikut pergi mana ni? Tadi cakap tak ada hotel, motel pun jauh?”
  “Ikut ajelah. Cepat, saya dah lambat ni.”
  Spontan aku mencebik bila dengar perkataan ‘dah lambat’ keluar dari mulut dia. Dari hari tu lagi dia buat gaya orang ada bisness juta-juta. Busy.
  “Kalau awak tipu dan bawak pergi tempat bukan-bukan, saya langgar moto awak.” Aku melangkah masuk ke tempat pemandu dan mula hidupkan enjin.
  “Dan kalau saya bawa pergi tempat elok, awak hutang budi dengan saya,” balas dia selamba. Helmet dipakai kemas sebelum dia menghidupkan motosikal.
  Aku buat muka sebelum turut menghidupkan enjin. Hari makin gelap dan jam dah pun menginjak ke angka 7.45 malam. Perlahan-lahan aku bawa kereta mengekori motosikal dia di depan. Tak lama pun memandu, dia membelok je jalan kecil, jalan kampung.
  Walaupun hati berkeras cakap jangan ikut, kepala kata tak apa.
  Tak lama kemudian, motosikal dia berhenti di depan rumah kayu besar yang kelihatan cantik disinari lampu luar rumah. Berhampiran dengan rumah besar itu, terletak empat buah rumah kecil yang aku agak sebesar bilik master bedroom apartment aku je.
  Tak kecil, tak besar.
  Pagar kayu yang mengilingi rumah kecil itu membuatkan hati aku terdetik kagum. Cantik. Simple.
  Nampak dari luar aje pun dah rasa selesa.
  Dia turun dari motosikal dan mendekati aku di dalam kereta sebelum dia menghadiahkan senyuman. Nipis. 
  “Awak hutang budi dengan saya.”
  Laju aje aku cebik. Tolong tak ikhlas langsung! “Saya nak hotel. Tak pun motel. Ni rumah siapa?”
  Dia buat tak endah dengan soalan aku dan terus melangkah ke depan anak tangga pertama.  
  “Assalamualaikum!”
  Aku tarik nafas panjang. Dengar aje dia beri salam, aku terus keluar dari tempat duduk dan berdiri tegak di sebelah kereta. Menanti siapa yang dipanggil lelaki tadi.
   “Waalaikumussalam.” Pintu rumah yang tertutup rapat tadi dibuka luar dari dalam. Terjengul wajah seorang wanita yang aku agak lewat 40-an dengan lengkap bertelekung putih.
  “Kak!” Lelaki tadi senyum lebar.
  “Eh, Zaim, nak apa maghrib-maghrib ni?”
  Aku pandang akak tadi dan lelaki yang dipanggil Zaim itu bersilih ganti. Masih tak tahu hujung pangkal cerita. Si Zaim ni bawa aku pergi rumah keluarga dia ke? Aiseh!
  Kenapa la aku ikut dia tadi?
  Aku nak hotel... Motel...
  “Ni ha kak. Tetamu.” Sempat dia jeling ke arah aku sekilas.
  “La... ada tetamu...” Akak tadi turun setapak sambil memegang telekung yang berkibar ke kiri dan kanan mengikut langkah dia. “Kawan kau ke Zaim?” Sambung dia tadi.
  Zaim menggeleng laju. “Taklah. Jumpa tepi jalan tadi.” Dia tarik sengih pada aku. “Balik dulu kak.”
  Bulat mata aku bila dengar jawapan dia.
  Jumpa tepi jalan? Amboi, elok betul bahasa dia? Cakap ‘jumpa tepi jalan’ tu macam dia dah kutip aku lepas aku kena buang je. Heh.
  Tapi, memang betul pun dia jumpa aku tepi jalan, kan?
  “Eh, nak balik dah? Tunggu la kejap.” Akak tadi melaung kuat bila Zaim dah mendekati EX5 dia.
  “Lepas Isyak nanti saya datang kak. Dah lambat sangat nak ke surau ni!” Dia turut melaung dari motosikal.
  Sempat dia angkat tangan gaya hormat dengan sengihan yang masih berbaki.
  “Awak hutang saya.” Zaim kenyit mata pada aku sebelum memecut pergi.
  Akak yang bertelekung tadi menggeleng sebaik saja motosikal Zaim menjauhi. Tumpuan dia kembali pada aku yang masih berdiri tegak di sebelah kereta. Senyuman diukir lebar saat pandangan mata dia menjamah wajah aku.
  “Kejap ya dik, akak tukar baju kejap. Naik la dulu. Zaim tu memang selalu bawa tetamu untuk homestay ni.”
  Oh, homestay...
  Patutlah cantik-cantik rumah kecil tepi rumah utama ni.
  “Bawa keluar barang kamu dulu, nanti akak tunjukkan rumah yang mana.”
  “Sebenarnya...” Aku gigit bibir perlahan sambil pandang wajah lembut akak tadi. “Sebenarnya saya sehelai sepinggang je kak.” Aku sengih di hujung kata.
  “Oh ye ke?” Terus berkerut dahi akak tu bila dengar jawapan aku.
  “Sebab tak rancang pun nak bermalam...”
  “Takpe. Malam ni awak pakai aje baju akak dulu.” Senyuman akak pemilik homestay itu membuatkan dada aku terasa lapang. “Akak nak panggil apa ni?”
  Aku senyum nipis sebelum menjawab. “Izaryn.”

 *

AKU melabuhkan punggung di atas katil bersaiz queen itu sebelum meregangkan tangan dan badan. Bila nampak aje waktu Isyak dah menghampiri, aku terus bangun ke bilik air.
  Belum sempat pili dibuka, pintu bilik diketuk perlahan dari luar.
  “Nah, Iza.” Kak Maira tersenyum manis di muka pintu sambil menghulurkan sepasang baju tidur, tuala dan beberapa barangan untuk mandi.
  Lebar senyuman aku bila nampak semua yang aku perlukan ada disediakan. “Terima kasih banyak, kak.” Walaupun kekok dengan panggilan ‘Iza’ dari Kak Maira tadi, tapi langsung aku tak betulkan.
  Lembut pulak bunyinya berbanding nama Ryn yang selalu aku gunakan dekat pejabat.
  “Kalau Iza nak baju kecik, akak boleh bawak Iza beli dekat pekan kejap.” Kak Maira pandang jam pada dinding bilik aku. “Sempat lagi ni kalau nak pergi.”
  “Boleh jugak kak.” Laju aje menjawab. “Tapi saya nak solat kejap. Dah nak Isyak pun ni.”
  Kak Maira mengangguk-angguk sebelum meninggalkan aku sendirian di rumah kecil itu. Rumah kecil yang lengkap dengan dapur, bilik air dan ruang tamu kecil yang cukup untuk dua orang tidur.
  Betul tekaan aku tadi. Memang sangat selesa.
  Selesai solat Maghrib dan Isyak, aku terus keluar dari rumah dan berjalan ke rumah Kak Maira yang terletak tak jauh dari situ. Nak minta charger.
  “Bukan main kau ya, bawak lari anak dara orang.” Suara Kak Maira yang kedengaran sayup-sayup dari tangga besar membuatkan langkah aku terhenti.
  “Imaginasi akak luar kawalan betul. Saya tak kenal dia pun kak oi.” Zaim tergelak-gelak menjawab.   “Mana dia? Dah masuk bilik? Okay tak tu?”
  Bersusun soalan dari Zaim. Aku masih lagi diam di tempat tadi.
  “Dah... akak dah bagi dia rumah dekat tepi ni. Kenapa kau tanya macam tu? Dia tak okay ke?”
  Aku boleh agak yang Zaim senyum bila dia menjawab. “Nampak macam okay, tapi nampak jugak macam tak. Takpelah kak. Asalkan dia dah dapat bermalam dia sini, okay lah tu...”
  “Eh, Iza dah siap?”
  Aku tersentak bila tiba-tiba nama aku dipanggil. Tak perasan pulak aku makin kedepan, nak curi dengar punya pasal.
  Zaim yang tadi membelakangi aku menoleh sekilas. Aku senyum nipis sebelum melangkah mendekati kedua-duanya yang duduk di atas sofa kayu yang disediakan di depan tangga.
  “Nak pinjam charger,” jawab aku perlahan. “Akak ada charger Iphone?”
  “Alamak, Iza. Charger untuk Iphone yang akak sediakan untuk penginap sini baru aje rosak. Akak tak pakai Iphone pulak...” Kak Maira menggaru kepala sendiri. “Memang tak ada bateri langsung ke?”
  Aku angguk. “Kalau macam tu takpelah kak. Keluar nanti saya beli.”
  “Akak tak rasa kedai tu jual charger.”
  Jawapan Kak Maira membuatkan aku mengeluh perlahan. Dah tu, aku melangut aje dekat sini tanpa telefon? Mesti Elis susah hati tak dapat contact aku.
  Mesti Tuan Qamarul pun akan cari aku.
  Dahlah tarikh untuk hantar printing dah dekat. Kerja pulak berlambak...
  “Iza?”
  Lamunan aku terus berkecai bila dengar suara asing yang memanggil. Automatik aku angkat kepala, pandang Zaim yang memandang aku dengan dahi berkerut.
  “Apa?”
  “Saya cakap, saya ada charger. Kalau nak guna bolehlah.”
  “Oh... okay.” Perlahan aku menjawab. Jawapan aku membuatkan Kak Maira dan Zaim berpandangan. Aku dapat agak yang dalam kepala masing-masing masih terfikirkan yang ‘tak okay’ nya seorang wanita bernama Iza ni.
  “Iza ikut Zaim ya pergi kedai tu? Akak ada customer pulak kejap lagi.”
  Aku hampir ternganga. Zaim pandang aku dan aku pandang dia.
  “Pergi kedai mana kak?” soal Zaim.
  Aku dah telan air liur berkali-kali. Takkanlah Kak Maira nak aku beli pakaian dalam dengan Zaim?
  Tak kelakarlah kak.
  “Iza nak cari baju...”
  “Kak!” Cepat aje aku memotong. Ayat Kak Maira terhenti di situ dan dia terus pandang aku. Nampak aje aku menggeleng laju, dia pecah dengan ketawa. Zaim yang memerhati makin berkerut dahi.
  Pelik agaknya.
  “Oh, lupa pulak.” Tawa Kak Maira tinggal sisa. “Hah, Zaim. Kamu bawak Iza pergi kedai dekat pekan kejap ya. Ada la benda dia nak beli tu.” Kak Maira kenyit mata dan wajah aku sekarang ni aku sendiri pun tak tahu nak bayangkan macam mana.
  Kebas!
  “Boleh.” Zaim bangun dari sofa kayu. “Jom. Nanti tutup pulak.”
  Aku angguk.
  “Cepatlah ambil kunci kereta.”
  Eh?
  “Saya bawak moto aje ni.” Muncung dia melurus pada EX5 di sebelah kereta Elis.
  Lupa pulak yang dia bawa moto. Takkanlah aku nak membonceng belakang dia pulak, kan?
  “Kejap.”
  Aku patah balik ke rumah untuk mengambil kunci kereta Elis sebelum kembali ke halaman rumah Kak Maira.
  “Jom.”
  Zaim hulur tangan, minta kunci dari tangan aku. Dengan dahi berkerut, aku serahkan juga kunci kereta pada dia.
  Dia takkan curi Kelisa Elis ni, kan?
  Mati aku kalau dia bawak lari.
  “Balik dari kedai nanti, singgah rumah saya kejap.” Dia terus masuk ke tempat pemandu sebelum menghidupkan enjin.
  “Kenapa nak pergi rumah awak pulak?” Aku buat suara tak puas hati sebaik saja aku mengambil tempat di sebelah pemandu.
  Dia pandang aku sekilas. “Kata nak charger Iphone?”
  Oh... lupa!
  “Okay.” Perlahan aje suara aku yang terkeluar. Nasib baik jugak Zaim ada charger Iphone, kalau tak boleh mati kutu jugak aku dekat sini malam ni.
  Tapi, kira hebat jugaklah dia boleh pakai Iphone kalau nak dibandingkan dengan EX5 yang dia bawak tadi.
  Sekali lagi aku pandang Zaim di tempat pemandu. Lain betul pakaian dia kalau nak dibandingkan dengan petang tadi. Sekarang dia dah kemas berbaju melayu dan berkain pelikat.
  Pakaian baru balik dari surau.
  Bau busuk petang tadi pun dah tak ada.
  “Dah tak busuk, kan?”
  Aku terkedu. Macam mana dia boleh tahu apa yang aku fikir ni? Bulat terus mata aku pandang dia yang masih tenang memandu melalui jalan-jalan kecil di kawasan kampung.
  “Kalau saya busuk, saya tak berani nak masuk kereta awak. Nanti lekat pulak bau busuk saya ni.” Dia sengih dengan kata-kata sendiri.
  “Sorry,” ucap aku perlahan. “Saya tak ada niat pun nak cakap macam tu...”
  “Nak mintak maaf kenapa? Dah memang saya busuk, kan?” Zaim ketawa perlahan.
  “Ha’ah.”
  “Ceh!” Makin kuat ketawa dia bila dengar jawapan aku.
  “Awak buat apa tadi sampai busuk macam tu?” Spontan terkeluar soalan tu sebelum sempat aku tahan. Beberapa saat kemudian, aku mula menyesal sendiri. Behave, Izaryn, behave!
  “Kerja kampung, biasalah.” Zaim sengih nipis.
  “Asalkan halal, takpe je kerja apa-apa pun.” Perlahan aku menjawab. Cuba mengambil hati dia kembali.
  “Tapi, bila kerja tu berbau busuk, tak ramai pun akan fikir ‘okay’. Semua pandang pelik je, semua jeling semacam je.”
  Aku gigit bibir, mengakui setiap patah dari mulut Zaim. Memang pun. Kalau nak dikira, bila pekerja lori sampah lalu pun, semua akan tutup hidung. Bila satu lif dengan pekerja buruh kasar pun, semua akan merungut. Busuk.
  Hapak.
  Tapi tetap, kerja yang dia orang semua buat tu halal.
  Tak salah pun.
  “Tadi saya baru balik main takraw dengan budak-budak lepas balik kerja.” Dia sengih tanpa memandang. “Maaflah buat awak tak selesa sampai kena tahan nafas.
  Oh, patutlah kemain bau peluh dia.
  “Iza, kan?” soal Zaim tiba-tiba. Teragak-agak aku mengangguk walaupun kedengaran pelik.
Iza. Tak sesuai langsung dengan watak bos aku dekat pejabat. Aku Ryn. Izaryn, bos Oh My Travel.
  Yang bakal dihentikan pengeluaran tu...
  “Saya Zaim.” Dia kenalkan diri, pendek.
  “Tau.”
  Zaim senyum nipis. “Ni nak beli apa sebenarnya ni?”
  “Adalah.” Aku pandang depan dan berharap yang Zaim akan tanya soalan lain pulak.
  “Macam tau je nak beli apa.” Zaim dah tayang gigi. “Awak datang sini sehelai sepinggang, kan?” Dia menoleh sekilas.
  Aku masih diam membatu. Dah tahu tu, diam-diam ajelah.
  “Nanti beli banyak-banyak, tau. Mana tahu kena duduk sini lama.” Dia dah sengih jahat. Bencinya!   Kenapa aku kena bersembang topik sensitif ni dengan dia?
  “Sepasang je cukup, esok nak balik KL dah,” jawab aku tanpa memandang.
  “Tapi awak ada hutang budi dengan saya. Mana boleh balik lagi sebelum bayar hutang.”
  Aku mengeluh tanpa sedar. Betul cakap orang. Hutang budi dibawa mati. “Awak nak saya buat apa?” Kening aku terangkat tinggi.
  Dia senyum lagi. “Esok saya bagitahu.”

  Esok? Heh. Esok aku nak kena balik KL dah...

*
bersambung

Monday 10 April 2017

Cuti-cuti Jeju-Seoul Day 2

Hari kedua!

Selesai je sarapan, kami dah gerak untuk ikut tentatif hari ni. Awal-awal lagi Kina and the gang dah tunggu dekat bawah. Bukan nak bias lah, tapi ikut trip Kina ni memang best. Dilayan macam puteri je. Naik transport pun selesa.

Gunung Hallasan


Okay. Asalnya nak ke pantai, tapi bila keluar je dari kawasan hotel, dari jauh nampak puncak Gunung Hallasan dah bersalji. Bulan November, sepatutnya trip musim luruh tapi dah ada salji! Excited bukan main lagi kitaorang.

Kina terus tukar tentatif. Pergi ke Gunung Hallasan dulu. Sampai dekat sana memang merasa lah juga tengok sajli. Kesian daku yang tak pernah pegang ni, memang jakun tengok salji memutih dekat sepanjang jalan nak ke kaki gunung. 




Alhamdulillah, pergi trip autumn, dapat winter sama. Berjaya jugak buat snowman walau tak sempurna mana. Hihi.





Turun dari kaki Gunung Hallasan, kami singgah dekat 1100 Road ni. Ada macam taman untuk jalan-jalan. Permandangan dekat sini memang lawa gila. Air yang mengalir dah beku sikit, dan batu-batu hitam yang terdampar dekat tengah-tengah taman tu rupanya dari batu lava gunung berapi yang meletus bertahun-tahun dulu.









Jusangjeolli Cliff

Turun dari Gunung Hallasan, Kina bawa kami ke Jusangjeolli Cliff. Dekat sini, benda paling magis berlaku. Keh keh keh. Magis tu tak lah magis sangat tapiiiii

tiba-tiba jumpa Ha Ha Running Man!




Gila tak excited?? Pergi Korea memang langsung tak fikir pun nak jumpa retis tapi tiba-tiba je boleh terserempak dekat Jusangjeolli Cliff ni. Memang rasa bertuahnyaaaa nampak Ha Ha depan mata.

Cantik, kan cliff ni. Batu-batu hitam dekat tebing laut ni pun terbentuk secara semulajadi. Bila gabung dengan air laut yang membiru, view dia memang pergh!


Cheonjeyon Waterfalls

Jumpa salji, dah. Jumpa Ha Ha, dah. Jadi kami gerak pulak ke Cheonjeyon waterfalls ni. Ada tiga air terjun, tapi kami pergi dua je. Lagi satu kena panjat tangga dan jalan jauh. Oleh sebab dah penat, kami tak pergi pun. 




Tapi,,, walau tengok dua je, view air terjun dekat sini memang superb. Terngoklah air dia tu. Rasa nak menyelam je, tapi tak boleh. Dalam oii. Plus, dia orang nak jaga kebersihan air terjun ni, jadi memang dilarang mandi.



Mana air terjun? Haa... magisnya lagi sekali, air terjun ni akan turun bila waktu hujan lebat je. 


Yongmeori Coast

Lunch

Lepas lunch dekat restoran seafood berdekatan, kami terus ke Yongmeori Coast. Yongmeori Coast ni berhampiran dengan laut dan angin dia memang kaw-kaw kuat plus sejuk. Uniknya dekat sini, corak-corak batu yang terhasil dekat sini merupakan hakisan laut yang terjadi beribu tahun dulu. 




Bayangkanlah, dulu paras air laut dekat atas tu dan sekarang air laut dah surut sampai tahap yang sekarang. Best jugak menyusuri jalan dekat tebing ni. Boleh tengok local yang menjual abalone, timun laut dan banyak lagi dekat tepi laut. Yang makan mentah-mentah dekat situ pun ada.







Team satu trip yang awesome!


Kebun Oren

Haa... siapa tengok My Girl? Inilah dia lebih kurang kebun oren yang Yoo Rin curi dan jual tu. Best! Kebun ni besar dan buah-buah oren dia memang banyak. Memang manis je semua. Patutlah oren dari Jeju ni popular dekat Korea.




Okay, itulah lebih kurang perjalanan hari kedua dekat Jeju. Tak sabar rasanya nak tengok bahagian Jeju yang lain pulak. Jeju ni besar empat kali ganda dari Seoul, jadi kalau nak pusing satu hari memang tak sempat.

Jom tengok ke mana pulak Kina nak bawa kami esok!



*Video hari kedua*


Cuti-Cuti Jeju-Seoul Day 1

Assalamualaikum dan hai!





Pergi jalan-jalan dah nak sampai setahun, tapi baru sekarang ada masa nak update. My bad. Hi hi. Okay. Hari pertama biasalah, memang penat gila sebab terpaksa naik turun flight, naik turun bas.



Oleh sebab dekat Jeju illa guna Jeju Muslim Travel, jadi tak adalah semak mana nak fikir siapa nak ambil, mana nak pergi dan sebagainya sebab awal-awal lagi Kina, yang handle kita orang dah bagitahu cara untuk ke Gimpo Airport dari Incheon Airport.

Kalau nak tahu, untuk ke Jeju, korang kena naik dari Gimpo Airport sebab tak ada penerbangan terus dari Incheon ke Jeju. 

Jadi kalau nak beli tiket ke Jeju, kenalah ada gap lebih dari dua jam. Lama lagi pun takpe, sebab kalau gap sekejap, bimbang rushing nak ke Gimpo Airport pulak.

Okay. So, klia2-Incheon, Incheon ke Gimpo. Untuk ke Gimpo Airport, ada dua cara. 

.
.



Dari Incheon ke Gimpo Airport


Airport ke Jeju adalah di Gimpo Airport. Sesiapa yang turun di Incheon Airport mesti transfer ke Gimpo Airport. Terdapat dua cara


AREX Train 3500 won / pax (45 mins)
Airport Limo Bus No.600 4000 won / pax (45 mins)



Sekiranya anda membawa luggage, jalan terbaik adalah dengan menaiki Airport Limo Bus. Bus menunggu di pintu keluar ketibaan airport. Pemandu bas akan membantu anda menyimpan bagasi di ruang penyimpanan bas.

Sila tiba di Gimpo Airport sekurang kurangnya satu jam sebelum berlepas. Sekiranya anda sudah terlambat untuk check in, TIDAK PERLU BERATUR di kaunter check in, terus sahaja ke kaunter tanpa beratur.

Sumber: Admin Jeju Muslim Travel (Kina dan Shafiq)
.
.
.


Kami pilih naik bas je. Senang, cuma tunggu je dekat luar dan selesa pun selesa. 

Sampai di Jeju, wakil Jeju Muslim dah ada dekat arrival hall untuk jemput kami dan terus ke hotel. Hotel yang illa duduk itu hari nama dia Hotel Champion. Tapi sikit pun tak reti nak baca tulisan dia orang. Iya lah tu kot Champion. Sampai je dah dijamu nasi korea. Tahu-tahu je perut memang lapar gila.







Alhamdulillah, tak banyak cabaran pun dari Klia2 nak je Jeju. Kena tempuh 4 airport memang buat kaki penat. Sampai di Jeju pun dah malam jadi tak nampak lagi macam mana permandangan Jeju. Takpe, esok kita terjah!




*Video Hari Pertama*



Saturday 8 April 2017

Cover Penuh Teman Lelaki Cik Bos (Limited Edition)

Hai!

Sebelum sambung bab baru, saya nak letak cover penuh dulu. 

Excited sebab takleh move on dengan cover comel ni. Hihihi

Tara!!



Sinopsis :

Izaryn Ismail - Cik Bos yang paling garang dan cerewet.
Zaim Hamdi – lelaki misteri yang sentiasa nampak selekeh.

Drama bermula apabila Cik Bos tersesat di sebuah kampung kerana kecewa. Dan dia diselamatkan oleh lelaki misteri yang pernah membuatkan dia ‘terhutang’ RM21.00.

“Ikut motor saya. Saya tahu tempat yang awak boleh tidur untuk malam ni.” -  Zaim

“Kalau awak tipu dan bawak pergi tempat bukan-bukan, saya langgar motor awak.” - Izaryn

“Dan kalau saya bawa pergi tempat elok, awak hutang budi dengan saya.” – Zaim

Menyewa di homestay milik keluarga Zaim, Izaryn rasa makin lama dia makin suka tinggal di kampung tersebut.Tapi yang sebenarnya, rasa suka itu lebih pada Zaim. 

Hidup Zaim yang selama ini simple tiba-tiba saja berubah dengan kehadiran Izaryn. Namun, ada sesuatu yang membuatkan dia terpaksa menahan hati.

“Saya tak boleh tengok awak senyum pada saya.”

“Kenapa?” Aku tanya dia balik.

“Sebab setiap kali awak senyum dan ketawa, saya rasa nak ajak awak kahwin masa tu jugak. And it’s killing me.”

Aku ternganga. Like... betul-betul ternganga. Aku tak bermimpi, kan? 

Zaim jatuh cinta. Izaryn jatuh suka. 

Namun akhirnya Izaryn terpaksa berundur bila sedar siapa Zaim yang sebenarnya.

 Antara cinta dan kerjaya, mampukah Cik Bos Izaryn merasai bahagia dalam kedua-duanya?


Tak dapat ke PBAKL? 
Nak order online?
Boleh terjah facebook Illa Shanahila untuk order 
=)

Terima Kasih!


Wednesday 5 April 2017

Teman Lelaki Cik Bos [Bab 2]




ADA lebih kurang dua minggu saja lagi untuk semua bertungkus lumus siapkan keluaran bulan depan. Keluaran yang jadi penanda aras sama ada Oh My Travel akan kekal atau tak.

Dan masih, semua orang masih buat macam tak ada apa-apa sebabnya semua tak tahu keadaan sebenar Oh My Travel sekarang.

Tepat jam 8.25 pagi, aku tolak pintu kaca besar yang memisahkan department majalan percutian dan juga department majalah fesyen. Masuk aje ke dalam, mata aku terpaku pada meja kerja Najmi dan Fakis yang berselerak.

Laju aje aku geleng kepala.

Beg komputer riba aku letakkan ke atas meja Najmi sebelum menarik sehelai kertas kecil yang ada di situ.

Najmi & Fakis,

Tolong kemas meja anda. Sila jadi orang bertamadun sikit.

Aku tutup sharpie hitam kasar sebelum langkah diteruskan ke bilik. Sekali lai aku menjeling pada meja Najmi dan Fakis yang kosong tak bertuan.

Tengah breakfast dekat restoran bawah agaknya.

Morning bos!”

Morning,” jawab aku perlahan sambil pandang Cheng Yee sekilas. “Ni, Nadia mana?” 

Kening aku terangkat sebelah memandang meja Nadia yang juga kosong. Jangan cakap yang dia MC lagi hari ni...

On the way kut.”

Aku melepas nafas perlahan.

“Elis?”

Mata sepet Cheng Yee lama pada wajah aku. Aku tahu apa yang dia fikir, ‘Saya tak jaga dia orang bos, manalah saya tahu’ tapi mulut dia terkunci rapat.

“I di sini!”

Aku menoleh ke arah pintu besar bila mendengar suara jeritan Elis. Elis yang tersengih-sengih membawa handbag dan komputer riba berjalan mendekati aku di depan meja Cheng Yee.

Rilaks la bos. Ada lebih kurang...” Dia angkat tangan, pandang jam tangan. “Dua minit lagi untuk punch card tukar warna. Dia orang confirm sampai sebelum ni.” Elis kenyit mata. “Pagi lagi bos, kita senyum!” Dia kemudiannya tarik sengih. Lebar.

Automatik aku menggeleng

Kan aku dah cakap, si Elis ni tak makan saman. Dia aje yang sanggup layan aku walaupun aku tahu perangai aku ni tak disukai semua.

Sebab itu jugalah aku perlukan dia.

Morning!”

Morning!”

“Assalamualaikum, selamat pagi!”

Baru aje aku melangkah masuk ke dalam bilik, kedengaran sayup-sayup suara Najmi, Nadia dan Fakis dari luar. Aku melepas nafas perlahan. Betul kata Elis.

Semua sampai sebelum punch card bertukar merah.

Elok aje aku duduk di atas kerusi, suasana di luar bilik menjadi gamat dengan gelak tawa. Panas hati aku pandang semua seronok ketawa bila Najmi melawak. Ditambah pula dengan cerita dari Nadia.

Semua pecah dengan ketawa. Termasuklah Elis.

Aku gigit bibir sendiri, geram. Lama aku menjeling ke luar sehinggalah Cheng Yee perasan jelingan aku. Cepat-cepat dia mencuit Nadia dan yang lain-lain. Beberapa minit kemudian, semua mereka kembali duduk di meja sendiri.

Sunyi.

Dan mula fokus pada kerja.

Aku tarik nafas dalam-dalam.

Nak kena bagi jelingan dulu baru nak buat kerja? Mana lah aku tak jadi ‘singa’ pada dia orang semua.

Haih.


“CIK BOS!”

Aku angkat mengalihkan pandangan dari skrin komputer sekilas sebelum kembali fokus pada kerja. “Ya, Elis.”

“I dah buat research pasal homestay semalam.” Elis tarik kerusi depan meja dan terus duduk di situ. Tangannya laju meletakkan beberapa keping gambar persekitaran Homestay Suka-Suka yang di cetak dari laman web rumah inap tu. “Awesome, bos!” sambung dia lagi.
Aku jeling sekilas dan menamatkan perenggan terakhir pada ruangan emel.

Regards,
Izaryn Ismail

Selesai menekan butang ‘send’, aku capai pula gambar-gambar rumah inap tadi.

Garfield? Teddy bear?” Kening aku terangkat seinci. Rumah-rumah kecil yang dicat cantik itu aku pandang lama.

Elis senyum lebar sebelum mengangguk beberapa kali. Bersinar-sinar mata dia sambil cuba menerangkan satu persatu info yang dia dapat dari laman web tu.

“Bukan itu je bos, ada Hello Kitty, Captain America, Spiderman...”

Wah, unik juga. Selalunya aku dengar ada rumah yang dicat rupa Hello Kitty dan setiap hiasan dalaman dia berasaskan kartun tu. Tapi rumah inap ni penuh dengan karakter-karakter lain.

Halaman rumah inap tu pula penuh dengan ciri-ciri kampung yang mana sungguh ‘clash’ dengan hiasan rumah inap tu.

“Menarik...” komen aku perlahan.

“Kan, bos? I pun rasa ni boleh jadi benda baru untuk orang yang nak bercuti. Lagi pun, tak jauh mana dengan KL. Senanglah nak pergi short gateway ke, habiskan weekend ke...”

“Okay, kita boleh proceed.”

Senyum Elis makin lebar. “Satu lagi bos.”

Aku angkat kening tanda ‘apa?’

“Tuan Qamarul ada call I tadi. Dia cakap yang dia nak jumpa bos lepas office hour nanti.”

“Kenapa dia tak call I sendiri?” Tuan Qamarul, pengarah urusan syarikat percetakan ni. Bukan saja cetak Majalah Oh My Travel, tapi ada juga beberapa majalah lain. Buku ilmiah pun ada.

“Bos off telefon.” Elis jeling smartphone aku di atas meja. “Dan, telefon tu...” muncung dia beralih pula pada telefon pejabat.

Aku senyum tawar sebelum menyambung kembali kabel yang aku cabut. Memang itu la yang selalu aku buat bila aku nak fokus pada sesuatu kerja. Cabut kabel telefon dan off smartphone.

Bukan apa, sebab aku tahu yang Elis mampu buat kerja dia dengan baik. Segala apa info penting yang aku terlepas bila aku off semua tu, Elis akan sampaikan. Macam situasi sekarang.

Sebab itulah aku memang perlukan Elis sebagai PA walaupun kalau nak dikira, tak perlu 
pun.

“Nak I ikut ke meeting you nanti?”

Yes,” jawab aku sepatah.

“Tapi Tuan Qamarul kan ada cakap yang I tak perlu ada pun bila dia meeting dengan bos.”

“You PA I ke, PA dia?”

Elis sengih lebar bila dengar jawapan aku.

“Tapi you free ke lepas office hour nanti? Kalau you ada kerja lain, tak apa. I pergi sendiri.”

“Tak ada pun bos. I free.”

Aku angguk perlahan. Ye lah, dah lebih office hour, tak boleh claim overtime pulak tu. Kalau aku paksa jugak Elis ikut, dibuatnya Elis report dekat persatuan pekerja nanti, naya je aku.

“Okay. Kalau macam tu, nanti you ingatkan I.”

Elis angguk sebelum bangun dari kerusi.

“Kereta I ke bos?”

“Yep. Macam biasa. I malas nak drive.”

“Okay bos.” Elis angkat tangan tinggi ke dahi sebelum menghilang di sebalik pintu. Pintu bilik yang dibiarkan ternganga luas aku pandang sekilas.

Memang dah jadi tabiat Elis, keluar tak tutup pintu. Malas pulak aku nak bangun.

“Elis, you keluar bawa bos pakai kereta you, minyak bos isi tak?”

Aku tak jadi bangun dari kerusi bila telinga menangkap suara Nadia dari luar.

“I boleh claim la...”

“Tapi you PA dia je, bukan driver. Menyampah pulak I tengok bila asyik you aje yang kena bawa dia sana-sini.”

“La... I kan PA bos.” Elis tergelak kecil.

Kening aku terangkat tinggi bila dengar pernyataan Nadia tadi. Salah ke kalau aku ajak Elis naik kereta dia dan suruh Elis drive?

“Elis... Elis... kesian you kena buli.”

Aku tarik nafas dalam-dalam dan hembusnya perlahan. Cuba bertenang. Tak ada gunanya aku nak terasa hati sangat dengan gosip-gosip dekat ofis ni. Fokus aku cuma satu.

Oh My Travel kena masuk carta balik dan tak akan dihentikan. Itu je. Yang lain-lain tu lantaklah dia orang nak cakap apa. Dan bila mata terpandang Cheng Yee yang tersenyum-senyum bergayut dengan telefon, darah aku makin menyirap.

“Cheng Yee! Kerja you dah siap ke? Banyak betul masa you bergayut waktu ofis?” Aku melaung kuat dari dalam bilik. Terkulat-kulat Cheng Yee pandang aku sebelum menamatkan panggilan.

Aku melepas nafas kasar. Belum sempat aku kembali pada kerja yang tertangguh tadi, pintu bilik diketuk perlahan.

“Bos?” Najmi masuk tanpa dipinta. “Draf untuk artikel Kathmandu tu I bagi lusa, boleh?”

Menggelegak terus darah aku bila dengar permintaan dia. Masa yang aku beri pada dia bukannya sekejap. Dah hampir sebulan dia balik dari assignment di Kathmandu. Takkanlah tak siap lagi?

“No. By today.”

“Tapi bos, semalam anak I sakit. Esok pulak I ingat nak cuti sebab anak I tak sihat lagi.” Wajah Najmi berkerut-kerut minta simpati. Aku tarik nafas panjang sebelum membalas pandangan dia.

“I don’t care, Najmi. I dah bagi masa lama untuk you siapkan artikel tu. Bukan satu page, tau. Empat. Empat page tu kalau you tak siapkan jugak, apa benda I nak gantikan dekat ruangan tu? Muka you?” Suara aku meninggi tanpa sedar. Memang pantang betul aku dengan orang yang suka ambil mudah pasal kerja.

“I dah bagi masa pada you lama, Najmi takkan satu habuk pun you tak buat? Enjoy sangat dekat sana sampaikan you dah liat nak karang artikel? I tak suka nak simpan jounalist banyak lemak macam ni. Dah buat assignment tu, kenalah siapkan!”

Muka Najmi sekarang dah biru kelabu pandang lantai. Aku nampak bibir dia bergerak-gerak untuk membalas. Laju aje aku sambung.

“I tahu you nak jaga anak you sakit, tapi salah you sebab you tak siapkan kerja waktu you free sebelum ni. Habis tu free time sebelum ni you buat apa? Bergosip?” Tajam anak mata aku menikam mata dia.

Najmi masih diam. Seisi pejabat juga diam. silaplah Najmi buat permintaan macam tu lepas telinga aku panas dengar gosip Nadia tadi.

“I tak kira, I dah bagi masa cukup pada you so by today, Najmi, I nak draf tu.” Aku tamatkan perbualan dan pura-pura tumpukan perhatian pada komputer di atas meja. “You boleh keluar.”

Hilang saja kelibat Najmi di muka pintu, aku tarik nafas panjang sebelum bersandar pada kerusi.

Kenapa semua orang kerja sambil lewa ni? Kenapa semua orang tak serius nak majukan Oh My Travel? Sebab dia orang tak tahu yang Oh My Travel akan dihentikan kalau tak perform?

Sebab dia orang tak tahu yang Oh My Travel sekarang ni dalam keadaan bahaya dan dia orang semua take it for granted? Asal buat? Asal ada?

Aduhai. Takkanlah sebab Oh My Travel ni bukan bapak dia orang punya, dia orang tak nak jaga? Tak nak bertanggungjawab?

Tak kan lah kerja semata-mata untuk gaji je?


SUASANA di cafe itu. Lepas dengar aje arahan dari Tuan Qamarul tadi, aku masih tak mampu bersuara. Elis di sebelah juga turut kaku tak bergerak. Aku tahu dia terkejut.

Lebih terkejut dari aku.

“Takkan tak boleh tunggu sale bulan depan, tuan?” Aku cuba memujuk. “Benda ni drastik sangat, tuan. Saya sendiri pun tak tahu nak bagitahu team macam mana...” Keluhan terkeluar tanpa sedar.

“Sebenarnya dah lama I dapat report yang Oh My Travel tak dapat sambutan dan profit keuntungan pun tak tinggi malah hampir rugi.” Tenang aje Tuan Qamarul menuturkan. 

“Ryn, you pun tahu kan keadaan ekonomi kita sekarang? I terpaksa hentikan pengeluaran kalau itu tak boleh bagi syarikat keuntungan. Tolong faham.”

Aku gigit bibir perlahan. Aku ingat, kami masih ada peluang hingga keluaran depan. Aku ingat, kami semua dapat diselamatkan. Langsung aku tak percaya lepas 6 tahun uruskan Oh My Travel, akhirnya kena hentikan juga.

“You jangan risau, Ryn. I ada jawatan lain untuk you dekat syarikat ni.”

“Team I?”

Tuan Qamarul terdiam. Lama dia pandang anak mata aku sebelum menjawab. “I akan bagi pampasan sebetulnya ikut kontrak.”

Itu tak penting. Yang penting, kerja. Jawatan.

Sekarang ni zaman syarikat buang orang. Nanti macam mana dia orang nak cari kerja balik?

“Dia orang tak ada peluang untuk kerja dekat syarikat ni lagi?”

“Syarikat kita sekarang ni pun dalam proses nak hentikan perkhidmatan sesiapa yang tak perform, Ryn. You know... ekonomi...”

Aku mengeluh panjang. Ya. Ekonomi. Ekonomi. Semua tengah sesak tak kiralah syarikat kecil ke besar. Apatah lagi individu.

“I tak boleh buat apa-apa pasal ni, Ryn. Please tolong I untuk bagitahu semua team you.”

Senang je permintaan dia. Apa dia ingat, bila aku bagitahu semua orang, kerja akan siap macam sepatutnya ke? Dia orang semua boleh mogok tak nak siapkan keluaran bulan depan. Dia orang boleh report sebab tak bagi tahu awal-awal.

Dan... Macam-macam lagilah.

Aku pulak...

Aku pandang Elis yang masih membisu. Nampak sangat wajah dia keruh bila dengar berita ni. Bukannya aku tak tahu yang Elis dah banyak kali cari kerja sebelum kerja dengan aku.

Dan bila dapat kerja ni, berkali-kali dia berterima kasih pada aku. Sebab bila dia dapat kerja, bolehlah dia tolong bagi belanja dekat keluarga dekat kampung.

Dan, yang lain-lain? Dia orang semua pun ada komitmen sendiri. Nadia nak bersalin, pastinya dia banyak nak pakai duit.

Najmi pulak, anak dah dua. Kalau dia berhenti, macam mana nak sara anak-anak dia lagi?

Fakis dan Cheng Yee pulak, walaupun masing-masing single, macam mana dia orang nak hadap hidup dekat KL ni bila dibuang kerja?

Haih, kusut!

“I harap you faham keadaan syarikat kita. Kamu semua ada masa sehingga keluaran terakhir.” Walaupun nada suara Tuan Qamarul sangat tenang, tapi tetap membuatkan jantung aku bagai dicincang lumat.

Thanks, Ryn. I memang perlukan khidmat you lagi dekat syarikat ni cuma Oh My Travel...” 
Tuan Qamarul terhenti disitu. Sengaja membiarkan aku sambung ayatnya sendiri.

“Saya faham, tuan.” Lemah aku menjawab.

“So,” Dia bingkas bangun dari kerusi. “Apa-apa nanti I’ll call you back.”

Aku balas senyuman dia. Senyuman yang cukup plastik aku rasa. Dan langkah dia keluar dari cafe aku hantar dengan pandangan mata. Elok saja Tuan Qamarul hilang dari pandangan, Elis terus menoleh ke arah aku.

“Bos? Betul ke I tak mimpi?” Rendah saja suara dia. Masih terkejut.

Aku hanya mampu angguk.

“Tapi kenapa bos? Kita elok je selama ni. Tak pernah ada masalah pun?”

“You’ve heard him, Elis. Ekonomi. No profit. Bla... bla...” Aku tongkat siku pada meja dan memegang kepala yang makin kusut. Tuan Qamarul nak aku cakap pada the whole team? Macam mana aku nak cakap? Takkan aku nak cakap yang ‘korang nak kena buang. Tapi I tak kena buang’. Mahunya malam tu jugak tamat riwayat aku.

“Tapi bos...”

“Sebenarnya I dah kena warning last two months.” Aku bersuara tanpa mengangkat kepala. 
“Tapi rasanya usaha I tak berhasil.”

“Sebab tu sejak dua menjak ni bos garang semacam?”

Aku angguk lagi. Garang ke? Aku rasa aku tegas je. Sebab nak dapatkan hasil yang terbaik. Dan mungkin agak kasar sikit. Mungkin agak bossy sikit.

Sikit...

“Tapi bos...”

“Tak ada tapi dah, Elis.” Aku angkat muka dan terus berdiri. “Kunci kereta.” Aku tadah tangan pada Elis yang masih duduk di atas kerusi. Terkulat-kulat dia pandang aku.

“Bos tak pegang kunci kereta sendiri ke?” Elis garu kepala.

“Not mine, yours.” Aku sangkut beg tangan ke bahu.

“Hah?” Ternganga dia dengar jawapan aku. “Tapi...” Teragak-agak dia buka beg sendiri dan hulurkan kunci kereta pada aku. “I nak balik nanti macam mana bos?”

“Pakai kereta I.” Laju aje aku jawab.

“Kenapa bos tak pakai kereta bos je sekarang?” Elis turut bangun, mengekori langkah aku keluar dari cafe. Berkerut-kerut kening dia pandang aku.

“Sebab kereta I dekat ofis, Elis. You yang drivekan I ke sini, kan?”

“Oh... lupa.” Elis sengih. “Tapi bos, nanti saya nak balik ofis macam mana?”

Aku keluarkan not RM50 dari purse sebelum meletakkannya ke atas tapak tangan Elis.

“Teksi.” Pendek aku menjawab.

“Tapi bos nak pergi mana? I nak ikut!”

Dan panggilan Elis selepas itu langsung aku tak hiraukan. Langkah dipercepatkan ke arah Kelisa biru gelap milik Elis.

Elok saja aku duduk di tempat pemandu, pintu dikunci rapat dan aku terus bersandar pada kerusi. Mata dipejam rapat. Automatik kata-kata Tuan Qamarul tadi kembali berlegar di kepala.

Kusut. Aku kusut.

Macam mana aku nak berhentikan semua orang dan aku akan dapat jawatan baru dekat syarikat tu?

Ya, aku bos yang buat anak buat menyampah, tapi sanggup ke aku duduk dengan jawatan baru dan tengok aje yang lain-lain kena buang?


Urgh! Kusut!

>>>Bersambung

http://illashanahila.blogspot.my/2017/04/teman-lelaki-cik-bos-bab-3.html