Tuesday 7 November 2017

Jika Ini Cinta [Bab 6]

BAB 6





BADAN TERASA terhuyung hayang mengikut rentak jalan yang dilalui. Perlahan-lahan dia cuba membuka mata walaupun rasa pedih masih berbaki. Sebaik saja mata dibuka, wajah Marisa menyapa mata.

Barulah dia sedar yang dia sekarang terbaring di dalam kereta dan kepalanya di atas riba Marisa. Nasrin memandu di depan masih laju membelah arus.

“Najwa? Kau okey tak ni?” tegur Marisa bila nampak adiknya dah sedarkan diri. Nasrin menoleh ke belakang sesaat bila dengar soalan Marisa. Terus saja dia tarik nafas lega bila nampak Najwa dah sedar.

“Okey.” Najwa cuba bangun dari baring. “Nak pergi mana ni? Kau tak jaga kedai ke?”

“Nak bawa kau pergi hospital lah. Tiba-tiba kau pengsan macam tadi, mahunya aku tak terkejut.”

Najwa bersandar pada kerusi sambil memejamkan mata. Barulah kepalanya dapat mencerna apa yang baru jadi.

“Izzat mana?”

“Aku suruh dia balik dulu.”
Kepala berdenyut makin menyiksa.

“Dia buat apa sampaikan kau jatuh pengsan macam ni?” Jari jemari Marisa naik ke kepalanya.

“Dia tak buat apa-apa pun, kak. Aku jatuh sendiri. Kepala ni ha, sakit sangat.” Jawab dia dengan mata tertutup. Dibiarkan saja tangan Marisa mengurut kepala yang dari tadi tak berhenti berdenyut.

“Dah dua kali kau sakit sebab dia, Najwa. Kau yakin ke dia tak buat apa-apa?” Nasrin pula menyoal dari depan. Keretanya membelok ke arah hospital sebelum berhenti di hadapan wad kecemsan.

“Betullah. Aku sendiri yang pengsan. Ni kenapa berhenti dekat sini. Jom kita balik je. Aku dah okey.”

No. Kau kena check juga. Kalau betul kau kena masuk air lagi, aku tunggu.”

Najwa mengeluh panjang. Nak tak nak, dia keluar juga dari kereta.

“Kau hantar Marisa balik dulu, Nas. Nanti datang la sini balik.”

Nasrin dan Marisa berpandangan seketika.

“Eh, aku temankan kau kat dalam je la. Kedai tu pun Nad dengan Ros ada.”

“Tak apa. Aku bukan tak boleh jalan pun. Aku dah okey. Kau balik kedai dulu. Biar Nas je teman aku kejap lagi.”

Marisa mengeluh perlahan. Nak tak nak, dia buka juga pintu di tempat duduk penumpang.

“Kau hantar aku dulu la Nas. Dia tak nak kau dengan aku tunggu lama la tu.”

“Degil.” Komen Nasrin sepatah.

 “Tahu pun.” Marisa pula menyampuk.

Najwa sekadar mencebik.

“Apa-apa hal nanti bagitahu aku.” Sempat lagi Marisa berpesan sebaik saja dia masuk ke dalam kereta.

“Okey.”

“Masuk. Jangan lepas ni kau balik dengan Grab Car pulak.”

“Aku tahulah.” Najwa buat muka. Wajah Nasrin dijeling geram.

Kereta Nasrin akhirnya dibawa laju ke butik yang terletak hanya beberapa kilometer dari hospital.

Sebaik saja bayangan kereta Nasrin hilang dari pandangan, dia tarik nafas panjang. Kepala yang berdenyut tadi dah mula reda. Lambat-lambat dia melangkah masuk di dalam perut hospital.

Check ajelah.

Paling kurang pun, dapat paracetamol sepapan dua.




Mana kau? Dah siap? - Nasrin

WHATSAPP Nasrin dibaca sekali lalu. Dia masih lagi menunggu giliran untuk membuat pemeriksaan di kepala seperti yang diarahkan doktor.

Walaupun rasa tak sedap hati, dia ikutkan juga arahan doktor tadi. Takkanlah sakit kepala sikit pun kena buat CT Scan?

Kena ambil darah tadi pun dia dah pelik, inikan pula dia check macam-macam.

Nak saja dia suruh doktor tadi bagi dia ubat tahan sakit atau paracetamol je. Tak perlu susah-susah dia ke sana ke mari buat macam-macam ujian.

Selesai urusan CT Scan, dia terus keluar ke tempat menunggu.

Kata doktor tadi, bila dah keluar keputusan nanti barulah pihak hospital akan telefon dia. Dia anggukkan saja. Malas nak berdebat panjang.

Nasib baiklah banyak juga cash yang ada dalam dompet dia, kalau tak memang kena pinjam duit Nasrinlah jawabnya.


Dah siap. Sorry lambat. Mana kau? - Najwa

Aku dekat cafe. Jom makan. - Nasrin



Nampak je jawapan Nasrin, laju je dia menggeleng. Nasrin dan makan memang tak boleh dipisahkan.


****

No comments: