Tuesday 7 November 2017

Jika Ini Cinta [Bab 7]

BAB 7




WAJAH DOKTOR Mahfuzah dipandang lama. Walaupun air muka lembut itu melemparkan senyum manis, namun entah kenapa senyuman itu nampak lain benar gayanya.

Hampir seminggu menunggu, barulah dia dapat panggilan dari pihak hospital. Terus saja dia memandu sendiri ke sini. Nasib baiklah dia memang ada di butik hari tu, jadi untuk ke hospital ini tak adalah jauh mana.

Bila dia diarahkan untuk rujuk pada doktor lain, dia makin rasa tak sedap hati.

Berkali-kali dia memandang wajah doktor dan dekstop yang menunjukkan imej bahagian otak yang mungkin keputusan dari pemeriksaan yang dia buat tempoh hari. Walaupun satu pun dia tak faham apa makna pada imej yang terakam, namun jauh di sudut hatinya dia tahu, ada benda tak elok bakal berlaku.

“Macam mana, doktor? Saya penat sangat? Tak cukup rehat?” Wajah Doktor Mahfuzah direnung lama meminta kepastian. Kali ini, senyumannya makin pudar dan terus hilang dari wajah.

Dada Najwa mula berdebar laju.

“Cik Najwa, I’m sorry to tell you this, it’s cancer.”

Najwa terkesima. Sebaik saja mendengar perkataan penyakit yang digeruni semua orang tu, telinganya bagaikan gagal berfungsi.

“Tumor yang ada di sini makin membesar...” Bibir Doktor Mahfuzah bergerak-gerak berkata sesuatu sambil menunjuk pada imej pada dekstop. Namun satu pun tidak melekat di telinga.

Kanser?

Kenapa kanser?

Kenapa sekarang?

Dia mimpi, kan?

“Cik Najwa kena datang hospital untuk regular check up. Kalau boleh, bawa keluarga sekali, ya?”

Lidahnya terkunci. Tak berkedip dia pandang wajah doktor yang masih menerangkan sesuatu di kerusinya.

Kenapa dia?



NAJWA memberhentikan keretanya tepat di hadapan tasik Seksyen 2 yang terbentang luas. Sengaja dia melencong ke sini lepas keluar dari hospital tadi. Di dalam kereta, air mata yang ditahan-tahan dari bilik Doktor Mahfuzah tadi keluar tanpa diseka.

Dengar perkataan kanser saja dah buat dia gerun. Ini pulak bila tahu yang tumor di otaknya makin membesar.

Najwa meraung sendiri. Kedua-dua tangannya diletakkan pada stereng kereta sebelum menyembamkan muka ke situ.

Air mata mengalir semahunya sehingga membasahkan riba. Berkali-kali soalan yang sama ditanya dalam hati. Kenapa dia? Macam mana dengan impian dia? Macam mana dengan apa yang dia rancangkan selama ni?

Dengan tumor di otak yang dia ada sekarang, sempat ke dia balas jasa mama dan abah sebelum dia pergi? Sedih bila fikirkan dia yang sepatutnya jaga mama dan abah tapi sebaliknya dia orang yang terpaksa tanggung sedih dan jaga dia nanti.

Memikirkan masa yang dia ada dah tak lama di dunia ni membuatkan jiwa terasa tersiksa. Dia takut.

Sungguh, kalau nak dikira dia langsung tak sedia untuk hadap kematian.

Penat meraung sendiri, Najwa bersandar lemah pada kerusi sambil melarikan pandangan ke depan. Permandangan senja di hadapannya langsung tak membuatkan hati dia tenang.

Dia mengerling ke kerusi sebelah bila telefon pintarnya berbunyi nyaring. Nama Izzat pada skrin dibaca sekilas. Bila panggilannya tak bersambut, WhatsApp pula dihantar berkali-kali.


Are you okay? Kerap sangat awak pengsan dua tiga hari ni. Tolong jawab, Najwa. Saya risau. - Izzat


Najwa hampir gila. Sakit yang hidap sekarang pasti akan buat dia merana. Siapa nak jaga dia? Takkan nak susahkan mama dengan abah? Apa akan jadi pada butik dia? takkan nak harapkan Marisa saja?

Macam-macam soalan yang keluar dalam kepala dia sekarang dan jawapan yang dia terima cuma satu.

Masa yang dia ada tak lama.

Dan dia belum pun puas dengan pencapaian yang dia ada sekarang.

Satu-satu lelaki yang dia cinta pula pernah curang dibelakangnya. Macam mana dia nak harapkan Izzat untuk jaga dia nanti?

Berjam-jam dia termenung sendiri sehinggalah kepala kembali terasa sakit. Akhirnya kereta dibawa ke hotel Grand Blue Wave yang terletak tak jauh dari situ.

Selesai solat Isyak, dia termenung lagi. Nasib baiklah dalam kereta memang tersedia telekung yang dia bawa kemana sahaja. Walaupun tak ada persalinan untuk bermalam di hotel, dia tetap juga ingin rehatkan diri disini.

Waktu telefon mamanya tadi, sedaya upaya dia cuba kawal suara. Nasib baiklah Puan Anisa tak banyak tanya bila dia cakap yang dia ingin bermalam di hotel beberapa hari atas urusan kerja.

Dia sendiri tak tahu berapa banyak dia menangis mengenang dugaan berat yang terpaksa dia lalui.

Bila sekali lagi nama Izzat keluar pada skrin OPPO, tangan laju saja menyambungkan talian.

“Awak betul-betul sayang saya?” Soalan itu laju saja meluncur keluar dari bibirnya tanpa ditahan.

“Najwa, kenapa ni?”

Soalan Izzat membuatkan air matanya kembali bertakung.

“Datang jumpa saya esok. Nanti saya bagtahu dekat mana.” Tanpa menunggu jawapan Izzat, talian terus diputuskan dan segala isi hati diluahkan di atas tikar sejadah.



TEH LEMON PANAS diteguk perlahan sebelum dia memberanikan diri melawan renungan mata Izzat di hadapan. Dia tahu Izzat pelik bila dia tiba-tiba tanya soalan tu semalam.

“Awak betul nak kahwin dengan saya?”

Kening Izzat terangkat tinggi mendengar soalan dia. Sekilas kemudian, dia mengangguk laju.

“Awak tak marah saya lagi?” soal Izzat. Sengaja dia menayangkan riak biasa walaupun dalam hatinya penuh dengan soalan.

Mustahil Najwa cepat sangat maafkan dia lepas apa yang jadi kali terakhir mereka jumpa.

“Awak betul-betul boleh terima saya seadannya? Akan sayang saya sampai bila-bila?” Suara Najwa berubah rentak. Entah kenapa, bayangan menakutkan datang setiap kali dia teringatkan penyakit yang dihidapinya sekarang.

“I love you so much, Najwa. Saya tahu saya pernah buat salah tapi please, bagi saya peluang untuk buktikan yang saya betul-betul cintakan awak. Akan jaga awak sampai bila-bila.” Panjang jawapan dari Izzat. Semua rasa pelik ditepis dari hati.

Najwa tarik nafas panjang. Anak mata Izzat direnung lama, mencari keikhlasan.

“Baiklah. Tapi sebelum tu saya nak bagitahu awak satu benda.” Sedaya upaya dia kawal suara sendiri. “Saya ada tumor, Izzat. Dan doktor cakap mungkin peluang saya hidup dah tak lama.” Najwa tunduk, memandang riba. Nafas ditarik dalam-dalam, menahan air mata dari jatuh ke pipi.

Dengar saja pengakuan Najwa, Izzat ternganga. Sungguh, dia langsung tak jangka apa yang keluar dari mulut Najwa sekarang ni.

“Dan saya faham kalau awak tarik balik keputusan awak tadi.” Perlahan Najwa menggumam sendiri namun cukup jelas pada telinga Izzat.

Izzat masih diam. dia sendiri keliru dengan apa yang baru dia dengar.

“Tumor?”

Najwa angguk lemah. Setiap kali dengar perkataan tu, setiap kali jugalah dia rasa perit di dada.

“Awak okey?”

“Buat masa sekarang, okey. Tapi esok lusa, saya tak tahu.” Bibir digigit perlahan. cuba membuat rasa sedih yang makin membuak. Entahlah. Walaupun dah semalaman menangis meratapi, dia masih tak dapat terima kenyataan yang satu ini.

“Tak boleh buat pembedahan?”

“Boleh. Tapi effect lepas pembedahan nanti boleh jadi macam-macam. Saya takut...” Najwa hampir meraung lagi. Mujur saja dia ada di restoran, kalau dalam butik sendiri rasanya dia dah meraung dekat situ juga.

“Saya takkan tarik balik keputusan tadi, sayang. Saya akan nikah dengan awak.”

Jawapan Izzat membuatkan kedua matanya bersinar terang. Tepat jangkaan dia, Izzat memang benar-benar sayang dan sanggup terima dia walau apa keadaan sekali pun.

“Betul?”

Izzat senyum mengangguk.

Hati dia bagaikan kembali hidup bila nampak anggukan tunangnya.

“Walaupun nanti awak akan jaga saya yang sakit dan tak mampu buat apa-apa?”

“Saya sanggup, sayang.”

Najwa senyum pahit. Air mata yang mengalir tadi dikesat dengan belakang tangan.

“Walaupun saya hanya ada masa tak sampai setahun lagi untuk hidup?”

Izzat angguk lagi.

Nampak saja anggukkan Izzat, Najwa menangis lagi. Sungguh dia tak kuat. Dia tak nak susahkan mama dengan abah untuk jaga dia. Dia yang sepatutnya jaga mama abah tapi apa yang bakal berlaku nanti adalah sebaliknya.

“Terima kasih, Izzat. Terima kasih banyak-banyak. Saya baru saja rasa yang dunia ni tak adil bila dapat tahu yang saya ada sakit ni...” Najwa gigit bibir menahan rasa. “Tapi awak sanggup...”

“Saya sayang awak, Najwa. Apa pun keadaan awak, saya terima. Sekarang ni satu je, kita percepatkan majlis nikah. Cepat sikit saya boleh jaga awak.”

Sedih yang merajai hati dia sepanjang malam makin tenang. Kesungguhan Izzat untuk terima dia walau bagaimana keadaan dia nanti sedikit sebanyak sejukkan rajuknya.


Nasib baiklah dia belum buat keputusan untuk putuskan pertunangan. Nampaknya kali ini Nasrin salah. Izzat benar-benar sayang dia dan buktinya, Izzat masih sanggup ambil dia sebagai isteri.

***

No comments: