Monday 13 November 2017

Jika Ini Cinta [Bab 9]

BAB 9


SEJAK Nasrin keluar dari butik tempoh hari, sekali pun Najwa tak dapat berita tentang dia. Selalunya ada saja cerita dekat WhatsApp yang dia nak kongsi. Ada saja panggilan telefon dari dia walaupun topik remeh temeh.

Sesekali jumpa Auntie Hanan di rumah dia, segan pula nak tanya lebih-lebih pasal Nasrin. Pada Zarith yang selalu mengikut ibunya ke sana kemari juga dia segan untuk bertanya.

Dia dah hampir jadi isteri orang. Takkanlah sibuk cari lelaki lain pula?

Akhirnya, dia biarkan saja Nasrin hilang dari radar. Biarlah Nasrin dengan rajuk dia. Mungkin lepas ni Nasrin akan faham kenapa dia ambil keputusan ni.

Hari ini, lebih kurang dua minggu sahaja sebelum tarikh pernikahan. Marisa dan mama masing-masing sibuk dengan urusan hadiah untuk tetamu. Abah pula rasanya dah habis jemput jiran-jiran satu taman dan dia pula baru saja terfikir untuk wujudkan event di Facebook.

Malam itu, selesai menguruskan apa yang patut di tingkat bawah, Najwa naik ke bilik sendiri. OPPO dicari sebelum satu WhatsApp dihantar pada Ain. Kawan rapat waktu sekolah.


Nak jadi bridesmaid aku tak?

Send.

Dia mencipta senyum nipis. Dah lama dia teringinkan majlis perkahwinan yang ada ramai bridesmaid macam kebanyakan raja sehari zaman sekarang. Dulu waktu merancang perkahwinan dengan Izzat pun, dia ada sebut pasal nak bridesmaid ramai. Best men untuk Izzat pun dia nak.

Cantik je bila tengok dalam gambar.

Meriah pun meriah.


Nak!!!
Siapa lagi?
Nak nak nak!

Lebar terus sengihan dia bila baca jawapan dari Ain.


Geng kita dulu la. Munirah, Fatt, Ya. Lepas tu kawan-kawan uni aku dua orang. –Najwa
  
Cun! Seronoknya! - Ain

Kau tolong buatkan group ya. Apa-apa nanti aku bagitahu. - Najwa

Oraitto! - Ain.


Akhirnya dia hampir merasa salah satu impian dalam hidup;

Berkahwin dengan Izzat dalam majlis yang meriah dengan kehadiran kawan-kawan rapat.

Bibir menarik senyum nipis. Walau kadang-kadang hati rasa berbelah bahagi dengan keputusan sendiri, namun cepat-cepat dia tepis. Walau untuk seketika, dia nak juga rasa bahagia.

Kepala tiba-tiba terasa berdenyut kuat. Dia terus terlentang dengan tangan di kepala. Mata dipejam rapat, cuma menghilangkan rasa sakit.

Baru saja Izzat temankan dia ke hospital dua hari lepas untuk rawatan susulan dan beberapa ujian. Sengaja dia suruh Izzat tunggu dekat luar sewaktu Doktor Mahfuzah menerangkan tentang tumor yang makin membesar di kepalanya.

Sedikit demi sedikit dia mula terima kenyataan.

Walau apa pun yang jadi, hidup dia yang masih berbaki beberapa bulan ini mesti diteruskan.

Jam pada dinding dipandang sekilas sebelum dia membetulkan letak bantal di hujung katil. Baru pukul 11 setengah malam tapi mata dia terasa berat untuk dibuka.

Belum sempat dia baring dengan selesa, OPPO di sebelah bergetar kuat menandakan ada WhatsApp baru. Cepat saja jari jemari membuka peti WhatsApp bila nama Izzat terpamer pada skrin.

Senyuman nipis tercipta bila memikirkan yang dia dan Izzat akan temu saat bahagia tak lama saja lagi.

Najwa, maafkan saya.
Sungguh, saya tak tahu berapa kali saya fikir sebelum ambil keputusan untuk hantar mesej ni.
Sorry sebab saya rasa saya tak mampu nak pikul tanggungjawab untuk jadi suami awak. Saya betul-betul sayang awak. Tapi bila dapat berita yang awak dah tak boleh hidup lama, saya jadi keliru.
Maafkan saya sebab buat keputusan ni lepas setuju untuk nikah dengan awak. Saya sendiri akan jumpa mama dan abah awak untuk batalkan perkahwinan ni. I’m sorry.
Dalam hal ni, saya yang jahat.
Saya yang tak cukup baik untuk terima awak.
Maafkan saya, Najwa.
Saya bukan calon suami terbaik untuk awak.


Dia terus terduduk di atas katil. Terkesima.

Tangannya terketar-ketar memegang OPPO di tangan. Setiap bait perkataan yang ditulis Izzat makin kabur dari pandangan mata.

Allah!

Kepala terus terasa berpinar.

Air mata pula pecah tanpa dipinta.

Izzat sendiri yang hantar ni? Setelah berbakul dia kena marah dengan Nasrin sebab bela Izzat. Setelah berbakul nasihat Marisa bagi, dia tetap dengan keputusan sendiri. Tapi ini pula keputusan Izzat?


Dalam hal ni, saya yang jahat. Saya yang tak cukup baik untuk terima awak. Maafkan saya, Najwa. Saya bukan calon suami terbaik untuk awak.


Perkataan terakhir dibaca berulang kali. Mengharapkan di tersilap baca dimana-mana. Namun dia hampa.

Isi WhatsApp diterima masih tak berubah dan betul, Izzat tak nak terima dia sebagai isteri.
Ya Tuhan... Kenapa macam ni jadinya?



TENANG MALAM itu langsung tak setenang hatinya. Sepanjang malam dia menangis di dalam bilik. Entah apa yang dia ratapi pun dia sendiri tak pasti.

Macam-macam ayat yang cuba dia cipta untuk bagitahu pada mama dan abahnya nanti namun tak ada satu pun sedap didengar pada telinga.

Semua persiapan dah hampir siap, takkan sesenang itu je dia nak bagitahu tak jadi nikah?

Mengenangkan jawapan dari Izzat, hati dia dipaut rasa kecewa. Berkali-kali juga dia minta Izzat fikirkan balik keputusan dia namun jawapan Izzat tetap sama.

Dia tak boleh jadi suami yang baik untuk seorang pesakit kanser.

Najwa hampir meraung bila baca setiap jawapan yang dihantar Izzat. Nak tak nak, dia kena juga akur dengan permintaan Izzat.

Bakal pengantin tak sudi, takkanlah dia seorang sahaja yang ada di pelamin nanti?

Memikirkan itu saja dah buat dia hampir gila. Nombor telefon Nasrin dicari dari senarai contacts untuk meluahkan segala rasa.

Sebaik saja sebaris nama itu keluar di skrin, cepat saja dia menyambungkan talian.

Bunyi ‘tut’ menandakan telefon dimatikan membuatkan dahi dia berkerut lebat. Kalau nak dikira, inilah kali pertama dia telefon Nasrin selepas kes di butik tempoh hari.

Biarlah banyak mana pun Nasrin nak marah dia.

Dia sanggup dengar banyak mana pun kutukan dari sahabatnya asalkan dia dapat luahkan segala yang terbuku di dada.

Bila sekali lagi talian tak dapat disambung, Najwa menangis lagi. Nak menyesal pun dah tak guna. Dia buta dengan cinta yang Izzat janjikan. Dia terlalu harapkan Izzat untuk tenangkan hati yang berkecamuk kerana penyakit yang tak diundang.

 Tapi dia lupa, Allah lah yang sebenarnya sangat rindukan rintihan dia. Allah sajalah yang jadi tempat dia bergantung.

Najwa teresak sendiri.

Sekarang ni dia dah tak kisah dengan malu yang bakal dia tanggung.


Dia cuma berdoa agar hati mama dan abah kuat dengan berita yang bakal dia sampaikan nanti.



***

No comments: